Jumaat, 8 Disember 2017

Teks Sejarah yang digunakan sebagai BBM




EKONOMI DI TANAH MELAYU SEBELUM MERDEKA
      Populasi utama penduduk semasa zaman prakolonial Semenanjung Tanah Melayu terdiri daripada masyarakat Melayu yang menetap di sekitar kawasan pedalaman, dengan kelompok
mereka yang lebih besar menetap di kawasan yang berhampiran dengan laut atau di pinggir sungai. Golongan peribumi lain terdiri daripada kumpulan orang asli yang terlibat dalam aktiviti memburu, mengumpul dan pertanian pindah. Kegiatan ekonomi masyarakat Melayu pada masa itu adalah bersifat jenis sara hidup yang mudah, berasaskan pada penanaman padi dan aktiviti perikanan. Tiada kegunaan lebihan pada tanah, sekiranya jumlah populasi berkembang maka lebih banyak tanah akan dibuka untuk penanaman padi.
    Sebelum abad ke-15, padi ditanam kering melalui kaedah ladang (pertanian pindah). Teknik penanaman padi basah telah diperkenalkan ke kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu dari Siam pada abad ke-15. Teknik ini merebak perlahan-lahan ke kawasan lain di Semenanjung Tanah Melayu dalam empat abad seterusnya. Penangkapan ikan biasanya dilakukan untuk tujuan sara diri bagi memenuhi keperluan ahli keluarga. Sekiranya terdapat lebihan hasil tangkapan ikan maka aktiviti pertukaran barangan akan dilakukan dengan penduduk yang menghasilkan barangan jenis lain seperti beras. Dengan ini masyarakat Melayu akan menukar ikan dengan beras dari kampung-kampung yang mengusahakan padi di kawasan pedalaman. Selain ikan, hasil laut yang turut diperoleh adalah mutiara dan agar-agar.
      Hasil ini akan dibuat perhiasan di rumah namun apabila keadaan terdesak, hasil tersebut akan ditukar dengan barangan lain berbentuk makanan dengan orang tengah. Untuk memperoleh sumber makanan yang berlebihan masyarakat Melayu telah menternak ayam, itik, menanam buah-buahan secara dusun seperti pisang, tebu, ubi kayu, kelapa dan pinang. Hal ini bertepatan dengan catatan China, di mana pada tahun 1419, telah ada orang Melayu yang menanam tebu, cempedak, pisang, labu, bawang, halia, tembikai dan lain-lain lagi. Di samping itu, semasa lawatan Abdullah Munsyi ke Kelantan beliau ada menyebut bahawa pada abad ke-15 masyarakat Kelantan telah mula menanam kelapa, pisang, keledek dan keladi. Aktiviti perlombongan bijih timah juga dilakukan pada masa ini. Pada awalnya kegiatan ini dilakukan oleh masyarakat Melayu secara kecil-kecilan sahaja. Hal ini telah menyebabkan hasil pengeluarannya sangat sedikit serta kawasan perlombongan emas yang diterokai juga adalah dalam jumlah yang terlalu kecil. Mereka melakukan aktiviti tersebut hanyalah untuk tujuan sara diri sahaja.
      Terdapat juga aktiviti memungut hasil hutan seperti akar kayu, kayu barus, rotan, kayu cendana, damar, lilin serta buah-buahan. Apabila hasil-hasil hutan ini berlebihan maka mereka akan menukarnya dengan orang lain bagi mendapatkan pakaian atau makanan seperti beras. Aktiviti penternakan juga turut dilakukan. Ia merupakan aktiviti sampingan selain aktiviti bersawah padi dan menangkap ikan. Di antara bintang ternakan ini seperti lembu dan kerbau. Ia digunakan untuk membantu urusan pekerjaan seperti membajak sawah serta menarik kayu. Aktiviti memburu juga turut dilakukan seperti memburu kancil, rusa, seladang dan ayam hutan. Masyarakat Melayu turut mengamalkan kerja kemahiran di antaranya seperti bertukang, menganyam, menghasilkan kraf tangan, pelbagai jenis alat senjata dan membuat perahu. Antara alat senjata yang digunakan ialah keris, lembing, pedang, pisau dan kapak. Kemahiran bertenun juga diamalkan oleh golongan wanita Melayu di Terengganu.
Manakala di Kelantan pula masyarakat Melayu terkenal dengan pengeluaran kain sarung, logam, ukiran kayu dan periuk belanga yang diperbuat daripada tanah. Perubahan paras laut pada zaman Plestosen yang berlaku lebih beribu-ribu tahun dahulu telah membawa perubahan dan perpecahan terhadap satu rumpun etnik dan budaya kepada unit budaya dan kelompok manusia yang lebih kecil. Perubahan ini telah membawa masyarakat Melayu menyesuaikan diri dengan alam persekitarannya, sehinggakan lahir satu kehidupan masyarakat Melayu yang mahir dalam ilmu pelayaran dan telah mewujudkan tamadun Melayu yang tertumpu di kawasan pesisiran. Hasil kemahiran dalam ilmu pelayaran ini telah menyebabkan berlakunya perpindahan idea dan hubungan perdagangan di kawasan Asia Tenggara, khususnya Kepulauan Melayu.

Sumber: http://www.ukm.my/iman/wp-content/uploads/makalah/IMAN%203(2)%20Mei%202015%20-%20[09]%20Uqbah.pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Laporan Tentang Pameran Bahan Bantu Mengajar

BLOG KETERAMPILAN MEMBACA                                         NAMA PEN...